PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menyiasat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung isu tempoh masa siasatan yang melebihi 10 tahun dalam kes melibatkan ketidakaturan permohonan kad pengenalan.
EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan, aduan telah diterima sebelum siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati wujud isu kelewatan dan ketidakaturan dalam pengendalian kertas siasatan oleh pegawai penyiasat JPN semasa menjalankan tugas, sehingga menyebabkan kelewatan tindakan diambil.
"Selain itu, wujud isu kehilangan sijil lahir asal yang telah diimpaun oleh JPN sehingga memberikan kesan terhadap jangka masa yang diambil oleh JPN untuk menyelesaikan siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
EAIC menjelaskan, terdapat keperluan penambahbaikan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) JPN, khususnya berkaitan tempoh masa wajar yang perlu ditetapkan bagi sesuatu kes yang memerlukan siasatan dan tindakan lanjut.
Tambah EAIC, turut diperlukan ialah kajian lebih terperinci terhadap pelaksanaan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), terutama bagi kes melibatkan pihak yang gagal hadir memberi keterangan semasa siasatan dijalankan.
"Sehubungan itu, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 4/2025 pada 8 April 2025 telah memutuskan untuk merujuk hasil siasatan melibatkan isu-isu tersebut kepada Ketua Pengarah JPN, berserta cadangan syor terhadap pegawai-pegawai JPN yang terlibat.
"Cadangan penambahbaikan SOP dan pelaksanaan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) hendaklah dilaksanakan bagi memastikan JPN dapat bertindak lebih proaktif dan berkesan dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.
EAIC turut memutuskan untuk merujuk syor hukuman di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] terhadap pegawai-pegawai JPN terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JPN.