KOTA BHARU - Seorang lelaki bertopi dan berkaca mata hitam bertindak melarikan seutas rantai tangan emas bernilai hampir RM50,000 dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini pada Sabtu lalu.
Kejadian jam 2.44 petang itu dikongsikan pihak mangsa di media sosial Facebook dan TikTok bagi meminta bantuan orang ramai mengesan lelaki terbabit.
Menurut hantaran yang dimuat naik tersebut, rantai tangan emas padu 916 jenis benson seberat 109.25 gram (g) berkenaan dilarikan suspek selepas berpura-pura masuk ke kedai sebagai pelanggan dan meminta untuk melihat barangan kemas terbabit.
Tidak lama selepas itu, suspek yang membelek-belek barangan kemas tersebut secara tiba-tiba berlari keluar dari kedai bersama rantai tangan berkenaan dan melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Melalui rakam kamera litar tertutup yang dikongsikan pihak mangsa turut menunjukkan seorang pekerja wanita dan pekerja lelaki cuba mengejar suspek namun gagal.
Pada Isnin, pihak mangsa sekali lagi memuat naik satu hantaran di akaun Facebook dan TikTok memaparkan wajah suspek terbabit untuk meminta bantuan supaya dapat dikesan.
"Ni rakaman jelas muka suspek, minggu lepas dia dah ‘survey’ kedai-kedai lain.
"Kalau ada yang kenal suspek boleh info kami,” katanya.