PGA gempur rumah jadi port seludup PATI

Iklan
PGA menahan dua orang tekong serta 35 PATI selepas menyerbu sebuah rumah di Lorong Dato Kadok, Jalan Syed Kuning, Ketereh di Kota Bharu pada Isnin. Foto PGA

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua orang tekong serta 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menyerbu sebuah rumah di Lorong Dato Kadok, Jalan Syed Kuning, Ketereh di sini pada Isnin.

Serbuan pada jam 11.30 pagi itu menerusi Op Taring Wawasan berjaya menahan lima wanita warga Myanmar, 11 lelaki Bangladesh dan 19 lelaki Myanmar.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa serbuan dilakukan terdapat dua orang lelaki tempatan berusia 31 dan 57 tahun sedang berada di dalam kereta di hadapan rumah terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui kesemua 35 PATI yang ditempatkan di dalam kediaman itu yang dipercayai dijadikan sebagai transit.

Iklan

"Kesemua mereka disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui laluan haram," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurut beliau, kesemua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar tidak mempunyai cop masuk ke Malaysia yang sah di pasport mereka.

Iklan

Ujarnya, manakala yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua PATI terbabit ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong di bawah Seksyen 26 (J) Akta ATIPSOM 2007.

"Kesemua tahanan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil ujian air kencing mendapati salah seorang daripada tekong turut positif dadah jenis methamphetamine," katanya.