SHAH ALAM - Jemaah haji, Allahyarham Abdullah Mat, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.17 pagi waktu tempatan.
Menerusi hantaran Facebook Masjid Kasar Mukim Pasir Mas, Allahyarham yang dikenali sebagai Che Loh Juru Ukur ketika itu sedang dalam pusingan tawaf sunat kelima.
Ujarnya, jenazah Allahyarham difahamkan akan dikebumikan di Makkah.
""Ya ALLAH, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga.
"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
"(Allahyarham) Jemaah haji 1446H dan sedang dalam pusingan tawaf sunat kelima," katanya pada Isnin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Isnin merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Abdullah yang berasal dari Kampung Landar, Pasir Mas, Kelantan.
Menurut beliau, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.
Sebelum ini, kematian tersebut merupakan kes kedua membabitkan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Terdahulu, seorang jemaah wanita, Norizah Tambonan, 47, turut disahkan meninggal dunia Jumaat lalu, akibat serangan jantung.