Bom lama ditemui di tapak projek, letupan capai 250 meter

Iklan
Sebutir bom lama seberat 35 kilogram ditemui tertanam di tapak projek pembangunan di Sungai Tumbuh, Bandar Universiti, Seri Iskandar, Sabtu lalu.

PARIT - Suasana di tapak projek pembangunan di Sungai Tumbuh, Bandar Universiti, Seri Iskandar bertukar cemas apabila sebutir bom lama seberat 35 kilogram ditemui tertanam dalam tanah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, bom jenis Artillery Shell 155mm itu ditemukan oleh seorang pembantu am syarikat pembinaan kira-kira jam 8 malam ketika menjalankan kerja-kerja rutin di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Bom ini tergolong dalam kategori High Explosive dan impaknya sangat kuat. Ia mampu mendatangkan kematian sekiranya terkena serpihan akibat letupan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan letupan berkenaan dipercayai tinggalan lama, namun tiada maklumat khusus diperoleh mengenai tahun pembuatan atau kaitannya dengan mana-mana peperangan.

Iklan

Menurutnya, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan tindakan segera.

"Pasukan UPB menilai impak letupan bom tersebut boleh menjangkau sehingga 250 meter. Bagi mengurangkan kesan letupan, benteng beg pasir dibina di sekeliling bahan letupan sebelum dimusnahkan menggunakan teknik High Order secara in-situ.

Iklan

"Operasi pemusnahan dijalankan dengan kawalan ketat dan selesai sepenuhnya pada jam 9 pagi hari ini (Isnin)," katanya.

Berdasarkan keadaan di lokasi, Hafezul Helmi tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi bahan letupan lama yang tertanam di kawasan sekitar.

"Siasatan lanjut akan dijalankan secara berperingkat bersama pihak berkaitan,” katanya.