Alasan sakit kepala, pemandu Hilux rempuh tiga kenderaan di lampu isyarat

Iklan
Tangkap layar kemalangan empat kenderaan di Kilometer 19.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Gopeng pada Ahad.

GOPENG – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mendakwa mengalami sakit kepala secara tiba-tiba sebelum merempuh tiga kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah di Kilometer 19.5 Jalan Ipoh–Kuala Lumpur di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, kenderaan jenis Toyota Hilux meluncur laju sebelum menghentam bahagian belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios, diikuti Perodua Myvi dan Perodua Axia yang turut berada di hadapan lampu isyarat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan kerosakan teruk pada kenderaan terlibat, antaranya bonet hadapan dan but kemik, lampu kiri dan kanan pecah, bampar tercabut serta pintu rosak.

Iklan

"Pemandu Hilux tersebut memberi alasan mengalami sakit kepala ketika kejadian berlaku.

"Dia terus pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan akan membuat laporan polis berhubung kemalangan itu hari ini (Isnin),” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Kejadian tersebut telah dirakam kamera papan pemuka (dashcam) belakang sebuah kenderaan sebelum tular di media sosial.

Mohamad Nazri berkata, siasatan lanjut kes itu masih diteruskan dan diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan.