KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Chenggal Lempong di sini pada Sabtu lalu, sempat meninggalkan telefon bimbit dan nota meminta maaf kepada ibunya.
Nota yang ditinggalkan Mas Rayyan Riqqin Abdullah turut menyatakan niatnya keluar rumah untuk hidup berdikari.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laporan polis berhubung kehilangan pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong itu dibuat oleh ibunya pada jam 8.51 malam, Ahad.
Menurutnya, mangsa disedari hilang kira-kira jam 8 malam pada Sabtu selepas didapati tiada di rumah seperti kebiasaan.
"Ibu mangsa yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pengasuh memeriksa bilik anak sulungnya itu sebelum menemui telefon bimbit serta nota yang ditinggalkan.
"Wanita itu kemudian menghubungi dan bertanyakan kepada rakan-rakan mangsa namun tiada seorang pun mengetahui keberadaan mangsa,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, bimbang akan keselamatan anaknya, pengadu tampil membuat laporan polis.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tidak pernah mempunyai masalah atau pertengkaran dengan ahli keluarga, termasuk ibunya.
"Kali terakhir mangsa dilihat oleh pengadu adalah kira-kira jam 10.30 malam pada Jumaat semasa sedang makan di rumah,” katanya.
Susulan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan remaja terbabit.
"Ciri-ciri fizikal mangsa ialah berkulit putih, berketinggian antara 160 hingga 165 sentimeter, berambut lurus pendek berwarna hitam belah tepi dan berbadan agak gempal.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak remaja itu diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Jelasnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.