Suri rumah rugi lebih RM158,000 ditipu tawaran kerja tidak wujud

Iklan
Seorang suri rumah di sini kerugian sebanyak RM158,498.89 selepas terpedaya dengan iklan kerja dalam talian yang tidak wujud.

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah di sini kerugian sebanyak RM158,498.89 selepas terpedaya dengan iklan kerja dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada 9 Mei lalu apabila mangsa berusia 30 tahun itu tertarik dengan tawaran kerja dilihat dan menekan pautan iklan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas menekan pautan tersebut mangsa disambungkan kepada seorang individu yang mengaku sebagai 'admin' menerusi aplikasi WhatsApp.

"Mangsa diberi penerangan mengenai tawaran kerja menaikkan rating hotel dengan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap tugasan.

Iklan

"Pada peringkat awal, mangsa berjaya memperoleh komisen seperti dijanjikan dan meneruskan tugasan seterusnya termasuk membuat bayaran kepada sembilan akaun bank berbeza berjumlah lebih RM158,000 secara berperingkat," katanya di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa mula curiga apabila tidak menerima sebarang komisen selepas membuat bayaran penuh dan percaya dirinya telah ditipu.

Iklan

Jelas beliau, wang yang digunakan untuk melabur dalam 'tugasan' itu merupakan wang simpanan milik bapa mangsa yang diserahkan untuk dijadikan modal pusingan perniagaan.

"Mangsa yang menetap di Pengadang Baru, Jalan Kepong, di sini telah tampil membuat laporan polis pada Ahad selepas menyedari dirinya ditipu.

"Pihak polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.