Wanita Thailand maut kemalangan di Padang Besar

Iklan
Seorang wanita Thailand maut manakala anaknya cedera selepas motosikal mereka berlanggar dengan treler di bawah jejambat Padang Besar.

KANGAR - Seorang wanitaThailand maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di bawah jejambat Padang Besar, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam nahas kira-kira 6.05 petang itu, wanita berkenaan, Patcharee Nunim, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya yang berusia 15 tahun mengalami kecederaan ringan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Padang Besar membelok ke kanan bawah jejambat itu menghala ke Chuping ketika lampu isyarat berwarna kuning sebelum melanggar motosikal dinaiki dua beranak itu.

"Wanita itu bersama pembonceng yang merupakan anaknya pula dari arah ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Padang Besar menghala ke Felda Rimba Mas. Akibat kemalangan berkenaan, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 6.30 petang oleh pegawai perubatan,” katanya.

Iklan

Mohd Shokri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk bedah siasat manakala pemandu treler itu direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, ujian urin pemandu treler yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu didapati negatif dadah. - Bernama

Iklan