BATU PAHAT - Adik kepada jemaah haji yang meninggal dunia di Masjidil Haram pada Jumaat lalu tidak menyangka bahawa pelukan terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.
Anggiat Tambunan Nordin, 44, berkata, kakaknya, Norizah Tambunan Nordin, 47, merupakan jemaah Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ) yang berlepas ke Tanah Suci pada pagi Khamis.
Jelas anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, pemergian kakak kedua daripada empat beradik itu amat dirasai kerana tidak sampai 24 jam berpisah, mereka sekeluarga telah dikejutkan dengan berita pemergian arwah.
"Saya ditemani ibu dan bapa saudara bertolak dari Batu Pahat ke Senai untuk menghantar kakak menaiki penerbangan ke Tanah Suci pada jam 4 pagi, Khamis. Sekitar jam 8.20 pagi, kakak masuk ke balai pelepasan dan melambai kami dengan senyuman.
"Sebelum itu kami berbual. Antara perbualan terakhir kami adalah ‘selamat dunia, selamat akhirat’, dan arwah peluk saya agak lama, cukup terasa sayu ketika itu. Kakak sempat beritahu melalui WhatsApp bahawa dia telah tiba di lapangan terbang Jeddah pada jam 1 pagi, Jumaat. Kemudian pada jam 9.50 pagi, kakak beritahu akan mula bertawaf.
"Itu kiriman WhatsApp terakhir daripada kakak sebelum saya dimaklumkan tentang pemergiannya sekitar jam 2.50 petang oleh kakak sulung kami, Suriayati, 49, selepas dimaklumkan oleh petugas Tabung Haji,” katanya ketika ditemui di Kampung Lowpiak, Taman Nira pada Ahad.
Anggiat memaklumkan bahawa kakaknya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan serius dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 26 Jun ini.
"Sebenarnya saya agak terkejut apabila menerima perkhabaran bahawa kakak saya meninggal dunia ketika hendak melakukan tawaf, dengan punca kematian adalah serangan jantung, sedangkan menurut rekod dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
"Solat jenazah telah dilakukan pada hari sama dan kami sekeluarga bersama penduduk menunaikan solat jenazah ghaib di surau Taman Nira,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anggiat berkata, ramai yang bertanya mengenai amalan kakaknya kerana pemergiannya berlaku di Tanah Suci.
"Kakak seorang yang positif, pemaaf dan tidak pernah meninggikan suara terutama ketika menjaga ibu sewaktu sakit. Arwah adik bongsu kami, Norafarizah, meninggal dunia tiga tahun lalu dipercayai akibat serangan jantung ketika tidur pada hari Jumaat. Dua bulan selepas itu, ibu pula meninggal dunia akibat kanser pankreas.
"Perkara yang akan sentiasa kami ingati adalah satu sudut di bahagian rumah kakak yang dijadikan tempat beribadah dan dikenali sebagai ‘surau’ dalam kalangan ahli keluarga. Di situlah arwah banyak meluangkan masa.
"Arwah apabila pulang dari tempat kerjanya di Pejabat Daerah Batu Pahat, selalunya akan terus ke surau itu untuk melakukan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan kadangkala tidur di situ,” katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Khalid turut berkesempatan mengunjungi keluarga Allahyarhamah Norizah pada pagi Ahad dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga.