Tiga batalion PGA baharu perkukuh keselamatan Sabah, Sarawak

Iklan
Saifuddin menyempurnakan pemakaian lencana batalion baharu pada majlis peluncuran Batalion 21 PGA Keningau, 22 PGA Kunak dan 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah di Kinarut, Papar.

PAPAR - Peluncuran tiga lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peluncuran Batalion 21 di Keningau, Batalion 22 di Kunak serta Batalion 23 di Sri Aman, Sarawak menjadikan keseluruhan pasukan PGA di seluruh negara kini berjumlah 23 batalion dengan kekuatan anggota mencecah 12,000 orang.

Iklan
Iklan

"Signifikannya peluncuran ini ialah ia menjadi bukti jelas komitmen PDRM dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka, memastikan keamanan negara dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

"Tiga perkara penting yang boleh disimpulkan daripada acara hari ini, iaitu pertama, ia mengesahkan tahap kesiapsiagaan pasukan untuk menghadapi sebarang senario ancaman keselamatan.

Iklan

"Kedua, ia memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik dan ketiga, ia membuktikan iltizam kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur keselamatan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan peluncuran ketiga-tiga batalion tersebut di Briged PGA Sabah di Kinarut, pada Ahad.

Tambah beliau lagi, selain kekuatan anggota, aspek kebajikan dan kemudahan pasukan juga diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Iklan

Jelasnya, ini termasuk penyediaan pejabat dan tempat tinggal yang kondusif kerana suasana kerja yang baik menyumbang kepada prestasi pasukan yang cemerlang.

"Selain itu, kita juga memberikan perhatian terhadap pembelian aset dan kelengkapan taktikal.

"Kalau anggota sudah terlatih dan kemudahan kediaman lengkap, tetapi tidak disokong oleh keupayaan aset, maka kekuatan pasukan tidak akan dapat dimaksimumkan sepenuhnya.

"Oleh itu, beberapa perolehan aset telah dirancang dan sebahagiannya akan dilaksanakan tahun ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata segala persiapan pasukan bergerak selari dengan dasar keselamatan negara yang jelas serta tidak berkompromi dalam aspek keupayaan dan kesiapsiagaan.

"Kayu ukurnya mestilah jelas. Saya sebutkan tadi bahawa dalam Indeks Keamanan Global, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-10 daripada lebih 160 negara yang dinilai.

"Penilaian ini berdasarkan pelbagai indikator termasuk kestabilan politik, kadar jenayah, jumlah keanggotaan keselamatan dan nisbah dengan jumlah penduduk.

"Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan rapi dan pelaksanaan dasar keselamatan yang menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu juga penting kerana ia memberi keyakinan kepada pelabur luar bahawa Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang selamat.