SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan mencuri tumpuan pengguna media sosial apabila tampil dengan gaya rambut berbeza setiap kali pulang dari sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Setia Alam, Selangor.
Menurut bapanya, Mohd Aidill Ali, penampilan dan gaya rambut anaknya, Dhia Emelda Mohd Aidill sering bertukar-tukar sejak dua minggu lalu didandan oleh seorang guru dikenali sebagai Syira.
Aidil berkata, pada mulanya Cikgu Syira mengikat rambut Dhia dengan gaya tocang biasa sahaja.
Menurutnya lagi, Dhia mula mendapat perhatian warga media sosial selepas isterinya memuat naik gambar anak mereka menggayakan rambut tocang di TikTok kira-kira dua minggu lalu.
"Biasanya saya ikat rambut Dhia secara biasa sahaja supaya dia kelihatan kemas kerana rambutnya keriting.
"Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu, setiap kali ambil Dhia daripada taska kami dapati rambutnya diikat dengan gaya berbeza oleh Cikgu Syira termasuk tocang, sanggul dengan reben dan terbaru bentuk bintang.
"Apa yang lebih mencuit hati, kami ialah permintaan daripada warganet yang mahu"kemas kini harian” membuatkan isteri saya, Nursarah Atiqah Mat Hamizi terus berkongsi gaya rambut terbaru Dhia hampir setiap hari," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Aidil dalam masa sama turut memuji kerajinan dan kreativiti cikgu tersebut yang rajin mendandan rambut Dhia dengan gaya berbeza hampir setiap hari.
Menurutnya, setakat ini sudah terdapat kira-kira lapan gaya rambut berbeza yang ditampilkan Dhia semuanya dilakukan oleh Cikgu Syira.
Tambah Aidil lagi, tindakan Cikgu Syira bukan sahaja menggembirakan Dhia, malah membuatkan anaknya semakin bersemangat setiap kali pulang dari taska berkenaan.
"Dia memang jenis suka berhias, suka main alat solek. Jadi bila rambut dia dah cantik, dia lebih gembira sebab nak tunjuk kepada kami,” katanya.