SEREMBAN - Kira-kira 40 peratus daripada 180,000 bekas tentera yang berdaftar di bawah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) adalah pesakit terlantar.
Naib Presiden PVATM, Datuk Adnan Ahmad berkata, mereka bukan sahaja memerlukan bantuan kerusi roda dan katil pesakit tetapi juga lampin pakai buang.
"Saya boleh katakan permohonan bantuan lampin pakai buang daripada ahli kita terlalu tinggi dan ini menunjukkan ramai yang dalam kategori pesakit terlantar.
"Di Negeri Sembilan sahaja daripada 17,000 keahlian kita, kira-kira 35 peratus yang memerlukan bantuan kemudahan ini dan hampir setiap minggu kita turun padang menghantarnya," katanya pada sidang akhbar penyerahan sumbangan kerusi roda daripada Persatuan Alumni Sekolah Aminuddin Baki Wilayah Persekutuan dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, mereka ini terlantar kerana faktor usia yang kebanyakan berusia 70 tahun ke atas.
Jelas beliau, PVATM berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan sumbangan kemudahan terbabit.
"Saya berterima kasih kepada pihak yang membantu memberi sumbangan kebajikan kepada bekas-bekas tentera di seluruh negara dan ini juga sebagai satu penghargaan kepada jasa bekas pejuang ini.
"Selain itu, bantuan susu khas untuk pesakit terlantar juga diperlukan kerana ada yang bergantung kepada susu sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Alumni Sekolah Aminuddin Baki Wilayah Persekutuan, Saifullizan Haron berkata, sebagai permulaan sebanyak 10 kerusi roda disumbangkan pihaknya.
Jelasnya, ia sebagai tanda keprihatinan kami membantu kebajikan bekas-bekas tentera yang pernah berkhidmat kepada negara.