TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah stor dan menahan 11 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol di pangkalan haram Koya, Pengkalan Kubor di sini pada Jumaat.
Serbuan pada jam 7 pagi itu dilakukan semasa Op Taring Wawasan, di mana sebanyak 855 liter petrol telah dirampas yang dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemerhatian awal mendapati terdapat dua wanita dan sembilan lelaki sedang memindahkan petrol dari kenderaan ke dalam tong.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 10 kenderaan yang semua tangki telah diubah suai," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, sebanyak 855 liter petrol ditemui dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM147,000.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.