SHAH ALAM - Prihatin terhadap kebajikan ahli, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyediakan 12 insentif bantuan kewangan yang menyeluruh bagi meringankan beban dan menyokong keperluan mereka.
Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, insentif tersebut merangkumi pelbagai bentuk seperti hadiah siswa dan perkahwinan pertama, bantuan rawatan hospital, sumbangan ketika berlaku kematian, persaraan, bencana alam serta sumbangan menunaikan umrah dan haji.
"Dalam landskap pendidikan yang kian mencabar dan kompleks, bantuan sedia ada dilihat masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan fizikal, mental dan emosi warga pendidik secara holistik.
"Lebih-lebih lagi guru kini berhadapan tekanan kerja yang semakin tinggi apabila beban tugas tidak lagi terhad kepada pengajaran semata-mata malah merangkumi tanggungjawab pentadbiran, pelaksanaan aktiviti kokurikulum, pengurusan data serta penyediaan laporan prestasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Juhari berkata, tekanan menjadi lebih membebankan apabila guru dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap pencapaian pelajar meskipun terdapat pelbagai faktor lain yang turut mempengaruhi prestasi tersebut di luar kawalan mereka.
Selain berhadapan tekanan kerja, katanya, para guru juga terpaksa menangani pelbagai isu lain yang turut menjejaskan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.
Jelasnya, antara cabaran yang dihadapi ialah kekangan kewangan terutamanya bagi guru muda dan bertugas di kawasan bandar yang mempunyai kos sara hidup tinggi.
"Masalah disiplin pelajar yang semakin mencabar, serta ketidakseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi turut menyumbang kepada keletihan emosi.
"Ramai guru merasa tidak dihargai apabila pengorbanan mereka tidak diiktiraf dalam bentuk ganjaran mahupun penghormatan sosial,” katanya.
Selepas bersara pula, ujarnya, guru masih berdepan fasa kehidupan yang penuh cabaran terutama dari aspek kewangan dan psikologi.
"Walaupun menerima pencen, jumlahnya tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang terus meningkat.
"Tambahan pula, kos rawatan perubatan semakin tinggi menjadi satu beban khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik.
"Selain itu, ramai guru mengalami kesunyian dan kehilangan identiti kerana tidak lagi terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan,” katanya.