Dua penjenayah mati ditembak disyaki terlibat kes samun RM1 juta

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan polis tembak mati 2 penjenayah kes samun, edar dadah di Nilai.

SHAH ALAM – Dua penjenayah bersenjata maut ditembak polis di kawasan parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dipercayai terlibat dalam kegiatan samun membabitkan pelbagai premis perniagaan dan kedai serbaneka dengan anggaran kerugian mencecah RM1 juta.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek yang dipercayai merupakan anggota kumpulan kongsi gelap, aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak tahun 2023.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam siri samun di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

"Mereka disyaki menyasarkan premis seperti rumah kediaman, pusat pengumpulan barang syarikat penghantaran serta kedai serbaneka. Nilai keseluruhan kerugian akibat kegiatan mereka dianggarkan sebanyak RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Fadil, siasatan lanjut juga mendapati salah seorang suspek berusia 40 tahun memiliki 76 rekod jenayah membabitkan kes keganasan dan dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 29 tahun mempunyai 11 rekod lampau.

"Kedua-duanya disyaki menyewa unit kondominium berkenaan sebagai tempat persinggahan selain turut menggunakan beberapa lokasi lain sebagai tempat persembunyian,” ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, polis turut menemukan dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan sepucuk pistol revolver yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Tambah beliau, pihaknya kini giat mengesan saki-baki anggota kumpulan kongsi gelap tersebut dan operasi memburu mereka sedang dijalankan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian berbalas tembakan antara polis dan suspek berlaku kira-kira jam 10 malam pada Khamis di lokasi kejadian yang turut dijadikan markas sementara kumpulan berkenaan.