SEREMBAN - Seorang kontraktor dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi membayar tuntutan berjumlah RM10,000.
Difahamkan, tuntutan award tribunal tersebut adalah berkaitan kerja-kerja pembaikan rumah yang gagal disiapkan.
Orang Kena Saman (OKS), Mohd Hakkim Mohd Fadzil, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah.
Mengikut pertuduhan, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) selepas gagal mematuhi perintah perlu membayar jumlah tersebut kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh serahan award pada 13 Ogos 2024.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Seremban pada 7 Oktober tahun lalu.
Jika sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun hukuman tidak dijatuhi pada Jumaat selepas OKS memohon tarikh penangguhan jatuh hukum.
Mohd Hakkim yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia tiada pekerjaan tetap dengan gaji tidak menentu selain menanggung isteri dan enam orang anak.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan waran tangkap OKS dibatalkan.
Majistret kemudian memerintahkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Jun depan untuk tarikh jatuh hukum.