NILAI – [DIKEMAS KINI] Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios sebelum itu dikejar di sekitar Nilai selepas enggan berhenti apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, polis berbalas tembakan dengan suspek sebelum lelaki tempatan berusia 29 dan 40 tahun itu mati ditembak.
"Kita telah berjaya memintas satu lagi kumpulan samun yang aktif menyamun rumah, kilang, tempat pengumpulan barangan parcel J&T di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.
"Suspek berusia 40 tahun didapati mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod," katanya dalam sidang akhbar di lokasi pada Khamis.
Menurutnya, polis turut menemui dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan pistol revolver yang dipercayai digunakan suspek.
Jelas beliau, kenderaan dinaiki polis turut mengalami kerosakan akibat terkena tembakan, namun tiada anggota yang cedera.
"Suspek dikatakan menyewa kondominium di situ dan menjadikannya sebagai lokasi persinggahan, malah banyak lagi lokasi lain dijadikan tempat penginapan.
"Selain itu, nombor plat kenderaan Toyota Vios berwarna perak yang digunakan suspek juga dipercayai akan ditukar-tukar," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dan aktiviti pengedaran dadah berdasarkan penggunaan senjata api.
Selain itu katanya, operasi memburu suspek-suspek lain akan diteruskan dan pihaknya percaya suspek yang mati ditembak merupakan antara ketua kumpulan mereka.