Kerani rugi RM465,200 ditipu skim pelaburan dalam talian

Iklan
Seorang kerani wanita berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM465,200 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi sebuah aplikasi dikenali sebagai KLSEC.
BUKIT MERTAJAM – Seorang kerani wanita berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM465,200 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi sebuah aplikasi dikenali sebagai KLSEC.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian tersebut pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa memaklumkan bahawa dia mula berkenalan dengan suspek, seorang wanita yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut melalui aplikasi WhatsApp selepas melihat iklan di Facebook pada awal Mac lalu.

"Pelaburan yang ditawarkan menjanjikan pulangan sehingga 60 peratus daripada modal dalam tempoh singkat. Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi KLSEC, mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan.

"Wanita itu dipercayai telah melakukan sebanyak 14 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Datuk Hamzah berkata, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang tertera dalam aplikasi tersebut dan diminta menambah lagi wang sekiranya ingin membuat pengeluaran.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran pelaburan yang diterima melalui media sosial kerana kebanyakannya berisiko tinggi dan tidak sah,” ujarnya.