HULU SELANGOR – Kemudahan awam yang baru dibina di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini dilaporkan telah dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh kurang sebulan selepas ia dirasmikan.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dalam lawatan berkala yang dilakukan pihaknya pada Isnin lalu, beberapa kerosakan telah dikenal pasti, termasuk tombol pintu tandas awam yang rosak dan panel pintu hiasan komposit yang dimusnahkan, dipercayai akibat perbuatan vandalisme.
Iklan
Iklan
"Kemudahan Dataran Warisan KKB dan tandas awam ini telah siap dibina dengan harapan menjadi sebuah tempat yang bersih, selesa dan selamat untuk kegunaan orang awam.
"Projek ini juga merupakan simbolik kepada usaha MPHS dalam menyediakan kemudahan awam terbaik untuk masyarakat setempat. Namun, kami amat berdukacita apabila mendapati kemudahan yang baharu ini telah dirosakkan melalui perbuatan tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi MPHS pada Rabu.
Tambah MPHS, meskipun kemudahan tersebut masih berada dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) sehingga Ogos 2025, sebarang kerosakan yang berpunca daripada vandalisme tidak akan ditanggung oleh kontraktor.
"MPHS sentiasa berusaha merancang dan merangka pelbagai inisiatif bagi menambah baik kemudahan awam di Hulu Selangor.
"Namun, mentaliti negatif dan sikap tidak bertanggungjawab seperti ini perlu dihentikan agar pembangunan yang dirancang tidak menjadi sia-sia dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.