KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, lawatan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 8 Mei lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan situasi semasa membabitkan ketegangan antara India dan Pakistan.
Bagaimanapun, beliau optimis jadual lawatan berkenaan akan dimuktamadkan secepat mungkin memandangkan Malaysia dan Pakistan mempunyai perancangan besar dalam meningkatkan hubungan strategik.
"Insya-ALLAH, lawatan itu akan berlaku dalam masa yang terdekat. Kami telah merancang pelbagai acara termasuk sidang kemuncak perniagaan dan program yang mampu mengukuhkan momentum hubungan dua hala.
"Saya percaya, dengan kedudukan Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini, ditambah pula dengan beberapa siri libat urus antarabangsa yang sedang dirancang, hubungan ini boleh dibawa ke tahap yang lebih strategik,” katanya dalam temubual tertutup bersama organisasi media terpilih di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Hadir sama, Presiden, Petugas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Sebelum ini, gencatan senjata antara India dan Pakistan dilaporkan masih bertahan selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengorbankan hampir 70 nyawa.
Perjanjian gencatan senjata ini dicapai selepas tekanan diplomatik yang kuat dari Amerika Syarikat (AS), dengan Presiden, Donald Trump menawarkan bantuan dalam menyelesaikan pertikaian lama antara kedua-dua negara berhubung wilayah Kashmir.
Susulan itu, India membuka semula 32 lapangan terbang pada Isnin susulan perjanjian gencatan senjata hujung minggu lalu yang menamatkan pertempuran paling buruk dengan Pakistan sejak tahun 1999.
Dalam pada itu, Syed Ahsan berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting dalam usaha meredakan ketegangan serantau termasuk menawarkan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara India dan Pakistan.
"Beliau seorang pemimpin yang sangat dihormati di seluruh dunia, termasuk di Pakistan. Tawaran beliau untuk bercakap dengan kedua-dua pihak amat dihargai,” katanya.
Syed Ahsan turut menyifatkan rakyat Malaysia sebagai penyokong kuat kepada keamanan serantau dan prihatin terhadap perkembangan terkini yang sedang berlaku.
"Saya sangat terharu apabila melihat rakyat Malaysia prihatin dan memberi sokongan terhadap usaha mengekalkan keamanan. Ini menunjukkan nilai murni rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat.
"Jadi dengan itu, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, pihak kerajaan, rakyat Malaysia dan semua orang,” ujarnya.