Nahas FRU: MOT diberi sebulan bentang laporan siasatan kepada Kabinet

Iklan
Keadaan lori FRU yang terbabit kemalangan dengan muatan lori batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa. (Foto Bernama) Gambar kecil: Fahmi

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan laporan dapatan pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan terhadap insiden kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang tindakan diambil.

Iklan
Iklan

"Dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, Menteri MOT, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan pasukan itu akan meneliti aspek bukan bersifat jenayah, di mana dari segi kenderaan, di bawah bidang kuasa kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, Anthony memaklumkan pasukan petugas khas itu terdiri daripada pakar keselamatan serta wakil-wakil bebas untuk meneliti punca kemalangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan berat.

Insiden yang meragut sembilan nyawa anggota FRU itu berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak pada Selasa.

Iklan

Trak yang membawa 18 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan sebelum dirempuh lori muatan batu.