TELUK INTAN – Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam direman selama empat hari bermula pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Bakri berkata, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika disabitkan kesalahan, kerana pemanduan secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi semalam, lori yang dipandu lelaki itu bertembung dan merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Akibat kemalangan tersebut, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan sedang menerima rawatan.
Mereka ialah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Sarjan S. Perumal, 44; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Bedah siasat terhadap semua mangsa telah selesai malam tadi dan proses pengebumian dijangka selesai hari ini. - Bernama