RAUB – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Sang Lee di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti pencerobohan itu pada jam 8 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Tranum segera ke lokasi kejadian.
"Hasil pemerhatian sehingga jam 12.30 tengah hari, polis berjaya menahan tiga suspek yang menunggang motosikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Shahril berkata, tangkapan dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek sebelum pihaknya menghubungi pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub untuk tindakan lanjut.
"Pasukan PHD Raub yang tiba mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan di dalam Hutan Simpan Rotan Tunggal dan terdapat kegiatan pencerobohan tanah di kawasan tersebut.
"Suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan lanjut oleh pihak PHD Raub di bawah Seksyen 88(1), Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Polis Raub memandang serius kegiatan pencerobohan hutan simpan dan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552222," ujarnya.