MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan mencuri kabel dan memandu secara berbahaya bagi mengelak ditahan polis pada minggu lalu.
Tertuduh, T Kerubahkaran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik enam pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Tuan Uthman Abd Ghani.
Berdasarkan pertuduhan di hadapan Sharda, dia didakwa telah memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa telah memalsukan nombor pendaftaran kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya dan berdepan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara antara 12 bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 108(1) APJ 1987.
Kedua-dua tindakan itu dilakukan di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Cheng, kira-kira jam 4.30 pagi pada 6 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.
Majistret Sharda Shienh membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Tuan Uthman, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya atas kesalahan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam.
Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua empat pertuduhan tersebut dan tarikh sama iaitu 19 Jun ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan tindakan pemandu pacuan empat roda yang membawa muatan kabel curi meloloskan diri berakhir secara dramatik selepas dikejar polis sejauh lebih 100 kilometer.