TEMERLOH - Seorang penyelia ladang cedera selepas trak pikap yang dipandunya gagal dikawal lalu merempuh pagar kuil di Kilometer (KM) 1 Jalan Karak – Mentakab dekat persimpangan lampu isyarat Bukit Bendera di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 76 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa baru balik dari kebun dari arah Lanchang hendak balik ke rumah di Taman Desa Jaya, Mentakab.
"Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, mangsa telah gagal mengawal trak pikap itu lalu terbabas melanggar tiang lampu isyarat dan pagar kuil tersebut.
Ujarnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Jelasnya, nilai kerugian kerosakan pagar dan lain-lain kerosakan dianggarkan hingga RM5,000.
"Ujian darah dan urin mangsa telah dibuat oleh pihak hospital dan didapati negatif.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59," tambahnya.