PORT DICKSON – Seorang pekerja sektor binaan ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk pada awal pagi Selasa.
Suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan dijalankan oleh Unit Peronda dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
BSPT IPD Port Dickson memaklumkan, sebelum kejadian suspek terlibat dalam kemalangan kecil sebelum menjalani ujian nafas bagi pemeriksaan bacaan alkohol ke atasnya.
"Hasil ujian saringan awal menggunakan alat SD2 mendapati bacaan alkohol sebanyak – mg/100mL, jauh melebihi had yang dibenarkan.
"Susulan itu, satu lagi ujian menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) dijalankan dan bacaan menunjukkan – mg/100mL," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, suspek telah ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Tangkapan ini menunjukkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan jalan raya terjamin dan mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan berbahaya.
"Orang ramai diingatkan agar tidak memandu di bawah pengaruh alkohol. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya," katanya.