Pemergian 9 anggota FRU kehilangan besar kepada negara - Fahmi Fadzil

Iklan
Keadaan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori yang terbabit kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa. Gambar kecil: Anggota FRU yang maut dalam kejadian itu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Iklan
Iklan

"Saya mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis itu.

"Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Fahmi turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar, selain mengajak seluruh rakyat berdoa agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka.

"Kementerian Komunikasi sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih, serta menyekat penyebaran berita palsu berhubung insiden ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan. Al-Fatihah,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Polis Dr Bakri Zainal Abidin berkata, angka kematian dalam kemalangan yang membabitkan lori pasukan FRU dengan lori muatan batu kini berjumlah sembilan orang.

Kesemua yang terkorban merupakan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dan mayat telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat. - Bernama