Perhilitan laksana 8 langkah mitigasi tangani konflik manusia-gajah

Iklan
Perhilitan telah melaksanakan lapan langkah mitigasi sebagai usaha berterusan untuk menangani konflik manusia-gajah di seluruh negara. Gambar kecil: Nik Nazmi

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah melaksanakan lapan langkah mitigasi sebagai usaha berterusan untuk menangani konflik manusia-gajah di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara langkah itu termasuklah pelaksanaan rondaan berkala di lokasi hotspot konflik gajah sepanjang lebih 100 kilometer laluan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang berselekoh dan mempunyai pemandangan terhad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tiga unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal turut dibina di Kampung Bukit Sapi–Kampung Batu Reng, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun dan Bersia, serta dua jenut tiruan di bawah jejambat rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS).

"Sebanyak 19 papan tanda lintasan gajah juga telah dipasang termasuk dua papan iklan dan satu papan tanda diod pemancar cahaya (LED) Elephant Crossing Monitoring Device.

Iklan

"Selain itu, pemasangan lampu jalan turut dibuat di 16 lokasi berisiko tinggi dan tujuh lagi lokasi baharu dikenal pasti untuk papan tanda amaran lintasan hidupan liar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, media melaporkan seekor anak gajah mati akibat dilanggar sebuah lori 10 tan yang membawa muatan ayam kira-kira jam 2.41 pagi di JRTB sempadan Gerik, Perak–Jeli, Kelantan, hingga menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Iklan

Nik Nazmi berkata, pihaknya turut melaksanakan program kesedaran awam melalui media sosial, video pendek dan poster lintasan gajah kepada pengguna JRTB agar lebih peka terhadap kehadiran gajah, khususnya semasa musim perayaan.

Menurutnya, pembinaan lintasan hidupan liar sepanjang 200 meter di Kilometer 157 laluan Gerik–Jeli juga telah siap dibina pada 2015 hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah projek Central Forest Spine.

Beliau menegaskan bahawa hutan sebagai habitat gajah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Justeru, Nik Nazmi memberitahu beberapa tindakan penting boleh diambil bagi mengukuhkan usaha menangani konflik antara manusia dan gajah, termasuk mewujudkan koridor ekologi dan penubuhan koridor gajah di kawasan berhampiran habitat.

"Antara lain, penanaman makanan semula jadi gajah, pembentukan santuari gajah seluas sekurang-kurangnya 10,000 hektar serta pemasangan lampu jalan di lokasi lintasan utama gajah," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut menyediakan insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT) sejak 2019, dan sebanyak RM800 juta telah disediakan sehingga kini untuk membantu kerajaan negeri melindungi kawasan perlindungan.

Menurutnya, pelaksanaan EFT menunjukkan kejayaan dengan lebih 90,000 hektar kawasan perlindungan telah diwartakan, termasuk peningkatan lebih 14,000 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK).

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha menangani konflik manusia-gajah memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk pemilik ladang, pelaksana projek, masyarakat setempat dan pengguna jalan raya.

"Kesedaran awam perlu diperkukuh dengan lebih meluas kerana perlindungan gajah bukan hanya soal konservasi, tetapi juga soal menjaga keseimbangan ekologi dan warisan negara," ujar Nik Nazmi lagi.