KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam satu kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada Selasa diberikan perhatian sebaiknya.
Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga anggota FRU.
"Saya mewakili warga PDRM berasa sedih dengan insiden yang menimpa mereka.
"Jasa mereka yang terkorban amat dihargai kerana kemalangan itu berlaku selepas mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
"PDRM akan memastikan kebajikan anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya ringkas ketika dihubungi pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya sembilan anggota FRU maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, dilaporkan berkata nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata semua anggota FRU terbabit adalah dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh, Perak.