KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan seramai 27 saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya juga akan merakam keterangan anak Pamela Ling serta saksi lain dalam tempoh terdekat.
Aidi Sham berkata, pergerakan Pamela Ling untuk keluar negara telah disekat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa agensi itu menjalankan siasatan ke atas wanita berkenaan.
"Siasatan dijalankan secara terperinci termasuk kemungkinan Pamela Ling melarikan diri ke luar negara," katanya.
Menurutnya, siasatan setakat ini mendapati tiada suspek lain dipercayai terlibat selain lebih lapan individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela, termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis ‘polis’, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, siasatan semasa kejadian turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
"Pada masa ini, semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan,” katanya.