JAKARTA - Timbunan sisa plastik dari Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Britain digunakan untuk menjana pengeluaran tauhu di Indonesia.
Lima kilang di perkampungan perindustrian di Jawa Timur (Jatim) menggunakan plastik yang diimport sebagai bahan bakar untuk produk makanan itu.
Kumpulan pencinta alam sekitar bagaimanapun bimbang dengan kesan serius kepada kesihatan.
Pada setiap hari, kira-kira 60 kilang pengeluar tauhu di Tropodo membakar sisa plastik bersama kayu dan sabut kelapa untuk menghasilkan kira-kira 60 tan tauhu yang diedarkan di wilayah Jatim termasuk ke bandar kedua terbesar, Surabaya.
Produk itu bagaimanapun tidak dieksport ke luar negara.
"Kami gunakan plastik kerana ia jauh lebih murah,” ujar salah seorang pemilik kilang yang enggan identitinya didedahkan.
Seorang lagi pengusaha dikenali sebagai Wahyuni berkata, pembakaran sisa plastik import itu dilakukan setiap dua hari dan ia hanya menelan kos kira-kira AS$13 (RM55) berbanding AS$130 (RM557) untuk kos penggunaan kayu.
Menurut Biro Statistik Indonesia (BPS), penduduk Indonesia mengambil secara purata lapan kilogram tauhu seorang pada setiap tahun.
Tetapi, pengasilan sumber makanan kaya protein itu menggusarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ecoton.
"Sisa plastik tidak boleh dikitar semula dijual sebagai bahan bakar kepada industri makanan. Sangat mudah untuk mendapatkan sisa sampah dari negara kaya yang dibuang di sini.
"Sebahagian besar sisa plastik asing itu berasal daripada import kertas,” kata jurucakap Ecoton, Dr Daru Setyorini.
Risiko kepada kesihatan
Pemilik kilang, Joko mendedahkan kilang tauhu di provinsi itu telah beralih kepada plastik sebagai bahan bakar dan ia turut digunakan kemudahan lain.
Pakar memberi amaran membakar plastik terutamanya dalam penghasilan makanan mengancam kesihatan termasuk meningkatkan risiko masalah pernafasan dan penyakit kronik lain.
Ecoton turut melakukan ujian terhadap tauhu yang dibeli dari pasar Tropodo dan mendapati kepekatan tinggi mikroplastik dalam bentuk gentian antara 0.15 milimeter (mm) dan 1.76mm.
Ketika ini, saintis masih melakukan penyelidikan terhadap impak mikroplastik kepada kesihatan manusia.
Beberapa kajian mendapati ia berpotensi meningkatkan serangan jantung, strok dan paling teruk boleh membawa maut.
"Pembakaran plastik sebenarnya membebaskan zarah mikroplastik ke udara, air dan ke mana-mana permukaan. Ia meningkatkan risiko pencemaran dalam produk makanan seperti tauhu,” jelas Daru.
Kumpulan pencinta alam sekitar juga telah membuat aduan tentang pencemaran toksik sekitar kawasan kilang berkenaan selain mencemari rantaian makanan melalui ayam kampung.
Kajian pada 2024 melibatkan sebuah kumpulan penyelidik berpusat di Jakarta, Nexus3 Foundation mendapati pengambilan separuh telur ayam kampung berhampiran kilang tauhu di Tropodo, Kawerang dan Tangerang ternyata 48 kali ganda melebihi paras dioksina harian yang selamat.
Pengarah Pengurusan Sisa di Kementerian Alam Sekitar, Novrizal Tahar bersetuju tindakan membakar sisa plastik sebenarnya mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia.
"Pemerintah sedang berusaha untuk melaksanakan larangan import sisa tersebut,” ujarnya.
Bagi Daru, isu yang lebih besar dan ramai terlepas pandang adalah negara kaya sengaja mengeksport sisa sampah mereka ke negara membangun di bawah langkah 'penjajahan sisa'. - Agensi
Info
>Indonesia mengimport kira-kira tiga juta tan sisa kertas dan kadbod pada setiap tahun. Pengekport terbesar ke Indonesia ialah Kesatuan Eropah (EU), AS, Australia dan Jepun.
>Kebanyakan sisa tersebut tiba di pelabuhan terbesar di Surabaya yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari Tropodo. Ia kemudiannya dihantar kepada hampir 12 kilang kertas untuk dikitar semula.
>Jakarta menjadi tumpuan untuk industri kitar semula global selepas China melarang import sisa pada 2018.
>Pada 2024, negara berpopulasi paling ramai di Asia Tenggara itu mengimport kira-kira 260,000 tan sisa plastik.