LAHAD DATU – Empat lelaki dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Tamaco, Tungku dekat sini apabila mereka gagal dihubungi sejak Khamis lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Tungku bagi mendapatkan bantuan mencari orang hilang di hutan berkenaan.
Iklan
Iklan
Berdasarkan laporan awal, beliau berkata, pengadu memaklumkan bahawa sepupunya, Fendery Ani, 37, bersama tiga rakan lain telah masuk ke hutan itu pada pukul 4 petang, 8 Mei lepas untuk mencari hasil hutan namun hingga kini tidak dapat dihubungi.
"Mereka tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Sumsoa berkata, pengadu turut menghubungi penyelia dari Kem Cenderawasih di sini yang dikenali sebagai Sarjan Wan pada pukul 2 petang semalam dan difahamkan Fendery sepatutnya bertugas ketika itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
"Maklumat tiga rakan Fendery belum diperoleh dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama