Ahli Parlimen Langkawi cedera ringan, kereta terbabas

Iklan
Kenderaan dinaiki Suhaimi terjatuh ke tali air dekat Jalan Sungai Dedap-Yan pada Isnin. Foto ihsan pembaca

YAN – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah cedera ringan selepas kenderaan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Dedap-Yan di sini, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Suhaimi yang juga Pengerusi Bersatu Kedah sedang memandu bersama isterinya dalam perjalanan menziarahi seorang rakan yang meninggal dunia di pekan Sungai Limau.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila Suhaimi dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam tali air berhampiran.

Beliau mengalami cedera ringan di bahagian bibir manakala isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Akibat kejadian tersebut, kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Mangsa berjaya dibantu oleh orang awam, termasuk kerja menarik kenderaan yang terperosok dari tebing tali air itu.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Salleh Saidin mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi media.

"Beliau selamat dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Yan.

"Kemalangan berlaku semasa beliau cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba membelok secara mengejut di hadapan," katanya.

Suhaimi dilaporkan dalam perjalanan menziarahi mendiang sahabatnya, Kong Sun yang juga ahli MCA.