KARACHI - Pasaran saham Pakistan melonjak mendadak pada Isnin selepas negara itu mencapai perjanjian gencatan senjata dengan musuh tradisinya, India, yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Indeks penanda aras KSE-100 dibuka pada 117,104.11 mata, naik 9,929.48 mata atau 9.26 peratus yang dianggap antara lonjakan tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Lonjakan itu berlaku selepas empat hari ketegangan antara kedua-dua negara yang menyaksikan serangan peluru berpandu, dron dan artileri yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang.
"Pasaran melonjak hasil gabungan faktor positif yang mengubah sentimen pelabur daripada takut kepada yakin," kata Ketua Penyelidik Arif Habib Limited, Sana Tawfiq.
"Kenaikan juga dipacu oleh kelulusan semakan program pinjaman oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang membuka akses kepada dana sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion) serta kelulusan pakej baharu berjumlah AS$1.4 bilion (sekitar RM6.6 bilion), meskipun dibantah oleh India.
"Kelulusan IMF ini memberi isyarat sokongan antarabangsa terhadap hala tuju pembaharuan ekonomi Pakistan," tambahnya.
Trump turut mengumumkan melalui media sosial bahawa perdagangan AS dengan kedua-dua negara akan ditingkatkan secara besar-besaran susulan kejayaan gencatan senjata itu.
Sementara itu, pakar ekonomi kanan, Sanie Khan, mengingatkan agar Pakistan mengekalkan momentum tersebut dengan mematuhi gencatan senjata, mempercepatkan pembaharuan ekonomi serta mengurus tekanan luaran seperti harga minyak global.
Bank pusat Pakistan juga telah menurunkan kadar dasar semalaman, satu lagi langkah yang menyokong aliran masuk pelaburan ke dalam pasaran ekuiti negara. - AFP