BATU PAHAT – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan Muar-Batu Pahat, Parit Baijuri, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa, lelaki berusia 61 tahun dalam perjalanan dari arah Muar menuju ke Batu Pahat.
Iklan
Iklan
"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah SUV yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang juga pekerja kilang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kanan. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.58 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, pemandu SUV tersebut hanya mengalami kecederaan ringan di pipi dan siku kanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang boleh membantu siasatan agar menghubungi Pegawai Penyiasat BSPTD Batu Pahat, Inspektor Rosnizam bin Rosli di talian 013-2224067 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.
Artikel Berkaitan