IPOH – Perkembangan pesat teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), mendorong Navira Meditech Sdn Bhd untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat bagi kekal bersaing dalam industri penyelenggaraan peralatan perubatan.
Menurut Pengarah Operasinya, L Indiran, perubahan dalam bidang perubatan yang kini lebih bergantung kepada teknologi tinggi memerlukan syarikat tersebut sentiasa peka dan bersedia menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran.
"Selepas pandemik, permintaan memang meningkat semula. Tapi teknologi juga berubah dengan sangat cepat, jadi kami tak boleh tunggu. Kalau leka, kita akan tertinggal,” katanya ketika menghadiri majlis rumah terbuka di sini.
Menurut Indiran, antara langkah utama diambil pihak syarikat adalah melibatkan pelaburan dalam latihan teknikal secara berkala kepada kakitangan, khususnya juruteknik dan jurutera medan yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja membaik pulih peralatan perubatan.
"Setiap tahun, hampir empat hingga lima kali kami akan hantar kakitangan teknikal untuk pelbagai kursus dan latihan berkaitan teknologi terkini dan peranti terbaharu," katanya.
Selain aspek sumber manusia, Navira Meditech turut giat menaik taraf sistem dalaman syarikat termasuk perisian, prosedur kerja serta pematuhan kepada standard baharu industri seperti amalan kelestarian alam sekitar dan piawaian (ESG).
"Sekarang semua bercakap pasal ESG dan 'go green’. Jadi kita pun sedang usahakan apa yang boleh diperbaiki, kita akan perbaiki. Kita ikut piawaian industri terkini supaya kita kekal bersaing," katanya.
Meskipun AI semakin digunakan dalam bidang perubatan, Indiran menegaskan kerja penyelenggaraan dan pembaikan masih memerlukan campur tangan manusia.
"Kalau mesin rosak, masih perlu ada orang yang datang tengok, buka dan baiki. AI boleh bantu dari segi diagnosis, tetapi lebih 80 peratus kerja kami masih perlukan kerja fizikal,” katanya.
Navira Meditech yang berpangkalan di Ipoh menyediakan perkhidmatan di seluruh Semenanjung.
Apa yang membanggakan, semua kakitangan syarikat itu adalah anak jati Perak yang menjadi kekuatan utama dalam membina semangat dan komitmen kerja.
Sementara itu, Indiran berkata, pihaknya akan meneruskan program khidmat sosial (CSR) meraikan pelbagai perayaan bersama golongan sasaran pada masa hadapan.
Menurutnya, sebelum ini, mereka telah mengadakan beberapa program CSR yang memberi fokus untuk membantu golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya, warga emas dan pelajar miskin.