KOTA BHARU – Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka bertindak pantas menolak dan mengunci pintu bilik pekerja sejurus seorang lelaki bertopeng mengacukan pistol ke arahnya dalam kejadian samun di Jalan Hamzah di sini pada Isnin.
Mangsa yang juga seorang lelaki berusia 24 tahun, ketika itu bertugas bersendirian di kedai berkenaan sebelum didatangi suspek kira-kira jam 6 pagi.
Menurut rakan sekerja mangsa yang berusia 27 tahun, suspek yang memakai sarung tangan di sebelah tangan kanan itu mengetuk pintu bilik staf sebelum mangsa membukanya dan diacukan pistol.
"Mangsa sempat bertindak pantas, terus menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Lepas itu, dia terus menelefon polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut wanita itu lagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai menunjukkan suspek kemudiannya masuk ke kawasan kaunter dan menyelongkar mesin juruwang tetapi gagal mendapatkan sebarang wang.
"Tiada pelanggan pada masa itu dan mesin juruwang pun kosong. Memang dia tidak sempat ambil apa-apa,” ujarnya.
Tambahnya, suspek kemudian beredar dari kedai serbaneka tersebut selepas gagal memperoleh sebarang hasil.
"Mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tangkapan dua lelaki berusia 20-an termasuk seorang orang kurang upaya lembam di sini, pada awal pagi ini.
"Mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Difahamkan, kedua-dua suspek dipercayai melakukan samun di beberapa cawangan kedai serbaneka di sekitar bandar ini dalam tempoh seminggu sebelum berjaya ditangkap kira-kira dua kilometer dari lokasi kedai di Jalan Hamzah.