'Saya kadangkala keliru' - Amir Ahnaf dedah cara pulih diri

Iklan
Amir (lima dari kiri) bersama individu penting di sebalik drama Pabila Dia Tersenyum.

RAMAI yang tidak menyangka, hanya dengan watak seorang ketua pelajar, namanya meluncur deras dalam dunia lakonan.

Meskipun baharu setahun jagung dalam industri seni tanah air, setiap kemunculan jejaka berusia 25 tahun itu di layar kecil mahupun besar sentiasa meninggalkan bekas di hati penonton.

Namun, menjadi Amir Ahnaf bukan sekadar soal berdiri di hadapan kamera semata-mata. Di persimpangan antara kampung dan bandar, anak jati Dungun, Terengganu itu perlu sering mengundur diri.

Bukan untuk berlari, tetapi untuk menyentuh semula akar jati dirinya di tepian pantai, tempat hembusan angin laut menjadi saksi.

Amir

"Saya kadangkala keliru, saya orang kampung atau orang bandar. Jadi, setiap kali selesai membintangi sesuatu watak, saya akan kembali ke pantai, tempat saya membesar.

Iklan
Iklan

"Saya akan cari semula karakter dan jati diri saya. Bila sudah dapat, barulah saya bermula semula dengan karakter lain,” cerita pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin kepada SinarPlus.

Di sebalik watak-watak yang pernah disarung, Amir mengakui bahawa karakter Farid dalam Syurga Itu Bukan Mudah, seorang narsisistik dan pendera mental, adalah paling sukar disingkirkan dari dirinya.

Iklan

"Saya tidak suka apabila sifat baran itu terbawa-bawa ke luar set. Ia mengganggu mental saya sendiri.

"Jadi saya ambil pendekatan untuk kembali ke pantai, tarik nafas semula dan memperbaiki diri. Lagipun, sains sendiri mengakui bahawa anak kecil yang didedahkan dengan tanah sejak awal dapat mengembangkan imaginasi dan kreativiti,” ujarnya.

Iklan

Dalam perjalanan lakonan kini, Amir berpegang pada prinsip: 60 peratus menghayati watak, 40 peratus kekal menjadi diri sendiri agar lakonan kelihatan semula jadi, bukan sekadar ‘memakai topeng’.

"Sekarang saya selalu ingatkan diri supaya tidak terlalu menghayati watak. Saya pastikan hanya 60 peratus karakter diberikan, manakala 40 peratus masih diri saya.

"Secara tidak langsung, lakonan saya tidak nampak terlalu berlebihan dan penonton tidak nampak Amir Ahnaf dalam watak itu,” jelas finalis Hero Remaja 2021 itu lagi.

Amir memilih untuk kembali ke pantai dan meluangkan masa di laut setiap kali selesai menjayakan sesuatu watak.

Teroka sisi baharu

Dalam usaha memperbaiki diri, Amir terus melakar langkah baharu. Kini, dia tampil dalam drama bersiri Pabila Dia Tersenyum, adaptasi karya Liza Nur, terbitan Buku Prima, Grup Buku Karangkraf yang bersiaran di Viu sejak 24 April lalu.

Menggalas watak Zuhal, seorang pemuda lurus, keliru dan kekok, Amir menyelami sisi manusia yang jarang disentuh.

"Dalam realiti, kita pasti ada kawan seperti Zuhal. Saya sendiri ada seorang rakan begitu. Jadi saya gabungkan pengalaman itu ke dalam watak,” katanya.

Bagi Amir, menjadi ‘jahat’ itu mudah hanya zahirkan sisi gelap dalam diri. Tetapi untuk menjadi ‘baik’ yang tetap menyimpan luka tanpa bersuara, itulah cabaran sebenar.

"Watak baik itu lebih kepada refleksi. Ia tentang apa yang kita pendam, bukan apa yang kita laungkan,” luahnya.

Di sebalik kejayaan yang diraih, Amir turut menyimpan harapan untuk bergandingan dengan aktres berkaliber, Nabila Huda, yang selama ini menjadi sokongan mental dan seni buat dirinya, jauh dari sorotan umum.

Sementara itu, di satu sudut lain peta, Amir sedang menjalani penggambaran filem baharu yang mengetengahkan isu budaya dan perkauman di Pantai Timur, hasil karya pengarah Taiwan, terbitan produksi sama yang melahirkan Abang Adik.

Lokasi penggambaran di Terengganu dan Kelantan bukan sekadar latar, tetapi tanah asal tempat jiwanya berakar. Bagi anak sulung daripada sembilan beradik itu, pulang ke akar bukan hanya soal mencari ketenangan, ia adalah tentang menyuburkan jiwa yang hampir terlupa.