THAILAND - Seorang lelaki yang disyaki mencuri telah diselamatkan secara dramatik dari sebuah saluran utiliti pada malam 9 Mei lalu, lapor saluran berita Thailand, Channel 7.
Dia dilaporkan terperangkap selepas cuba bersembunyi dalam ruang sempit itu ketika melarikan diri daripada pegawai polis.
Suspek didakwa mencuri harta daripada majikannya, satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Thailand.
Selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi, Ketua Polis Pak Khlong Rangsit, Phattanchai Phamonpiboon mengetuai pasukan ke tempat tinggal suspek untuk menahannya.
Pasukan polis menyerbu sebuah blok pangsapuri di Pathum Thani, sebuah wilayah di pinggir Bangkok, sekitar jam 9.45 malam menyebabkan suspek melarikan diri dengan memanjat siling dan menyelinap ke unit jiran.
Dia akhirnya memilih untuk bersembunyi di dalam saluran utiliti yang digunakan untuk akses paip air, dikenali secara tempatan sebagai ‘saluran tajam’. Namun, pelan itu tidak berjaya apabila dia terperangkap dan tidak dapat keluar.
Pasukan penyelamat dipanggil dan mereka mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan suspek dengan berhati-hati dari saluran tersebut.
Sebaik sahaja berjaya ditarik keluar, dia kelihatan sangat letih dan kusut lalu dibawa ke Balai Polis Pak Khlong Rangsit untuk disoal siasat dan menjalani proses undang-undang.