Trump ikrar tingkatkan perdagangan dengan India, Pakistan

Iklan
Donald Trump. Foto AFP

MOSCOW - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad berikrar untuk"meningkatkan perdagangan secara besar-besaran" dengan India dan Pakistan bagi menyokong kedua-dua negara itu susulan pengumuman gencatan senjata, serta berjanji akan membantu menyelesaikan konflik di Kashmir, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Sabtu malam, Ketua Wilayah Kesatuan Jammu dan Kashmir di India, Omar Abdullah, melaporkan terdengar letupan serta sistem pertahanan udara India diaktifkan berhampiran bandar Srinagar, yang menjadi pusat pentadbiran wilayah itu pada musim panas.

Iklan
Iklan

Insiden tersebut berlaku beberapa jam selepas Timbalan Menteri Luar Pertama India, Vikram Misri, mengumumkan bahawa India dan Pakistan telah menghentikan semua serangan dan tindakan ketenteraan di darat, udara serta laut bermula jam 17:00 (11:30 GMT) pada Sabtu.

"Walaupun perkara ini tidak dibincangkan pun, saya akan meningkatkan perdagangan secara besar-besaran dengan kedua-dua negara hebat ini. Selain itu, saya akan bekerjasama dengan anda berdua untuk melihat sama ada selepas ‘seribu tahun’ satu penyelesaian dapat dicapai berhubung isu Kashmir. Semoga Tuhan memberkati kepimpinan India dan Pakistan atas kejayaan ini!!!,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social.

Iklan

Pada malam 7 Mei, Kementerian Pertahanan India memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan Operasi Sindoor sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas di Pahalgam, dengan menyasarkan"infrastruktur pengganas” di wilayah Pakistan. Kementerian itu turut menjelaskan bahawa tiada kemudahan ketenteraan Pakistan diserang dalam operasi tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Pakistan mendakwa India telah menyerang lima penempatan di negara itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 57 lagi cedera. Kementerian Luar Pakistan menyatakan bahawa Islamabad berhak untuk memberi tindak balas yang sewajarnya.

Iklan

Ketegangan antara India dan Pakistan memuncak susulan serangan berani mati berhampiran Pahalgam di wilayah Jammu dan Kashmir, India, pada 22 April lalu yang mengorbankan 25 warga India dan seorang warga Nepal. India mendakwa mempunyai bukti penglibatan Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI) Pakistan dalam serangan tersebut, namun Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif, menolak tuduhan itu. – Bernama