Buruh maut, motosikal ditunggang rempuh belakang treler

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal.ditunggang merempuh belakang treler di Jalan Kuantan-Pekan pada Sabtu. - Foto: FB Polis Trafik Kuantan, gambar kecil: Wan Mohd Zahari

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler rosak yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Ubai, di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Mohd Nor Azmi Ibrahim, 53, yang beralamat di Kampung Peramu Hilir disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati treler membawa muatan besi yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan mengalami kerosakan sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Iklan

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang treler,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.