Kanak-kanak hilang di muara Sungai Balok ditemui lemas

Iklan
Mayat mangsa ditemui pihak bomba kira-kira jam 12.40 tengah malam sebelum dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat. - Foto: JBPM Pahang

KUANTAN – Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarga berhampiran jeti di muara Sungai Balok ditemui lemas pada awal pagi Ahad.

Mayat mangsa, Nur Afia Ramadhannie Zolkurnain yang beralamat di Kampung Sungai Ular ditemui pihak bomba pada jam 12.40 tengah malam kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil pengecaman oleh ibu mangsa mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah anaknya yang lemas.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap fizikal mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan dan tiada unsur jenayah.

Iklan

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.

Mayat mangsa disahkan berdasarkan pengecaman ahli keluarga selepas ditemui lemas pada Ahad. Foto: JBPM Pahang

Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa bersama ibu, seorang ibu saudara dan 13 saudara-mara berusia antara satu hingga 13 tahun datang ke lokasi tersebut untuk mandi dan mencari kepah.

Iklan

"Berdasarkan maklumat daripada salah seorang ahli keluarga, semasa kejadian mangsa dipercayai berada di belakang ibu saudaranya.

"Mangsa dipercayai dibawa arus gelombang daripada bot nelayan yang melalui kawasan tersebut sebelum disedari hilang," katanya.

Menurutnya lagi, keluarga pada awalnya menyangka mangsa telah pergi ke tandas.

"Keluarga telah membuat pencarian awal di kawasan pesisir pantai dan juga tandas awam, namun mangsa gagal ditemui.

"Keluarga kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng pada jam 4.45 petang untuk memaklumkan kejadian dan memohon bantuan," katanya.

Jelas beliau, pihak bomba tiba di lokasi pada jam 4.45 petang dan memulakan misi pencarian yang dibantu oleh empat anggota unit penyelam.

"Operasi pencarian pada Sabtu ditangguhkan pada jam 7.30 petang. Bagaimanapun, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah malam," katanya.