CIREBON – Seorang jururawat di sebuah hospital di Klayan, Kecamatan Gunung Jati, Kabupaten Cirebon, Indonesia didakwa merogol seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU).
Ketua Polis Cirebon Kota, AKBP Eko Iskandar mengesahkan pihaknya menerima laporan rasmi daripada ibu mangsa, NH, 38, di Ibu Pejabat Polis Cirebon Kota pada 5 Mei lalu.
"Ya, mangsa telah membuat laporan pada 5 Mei 2025. Ketika ini kami sedang menjalankan siasatan terperinci dan akan memastikan kes ini diselesaikan dengan tuntas,” katanya pada Sabtu.
Menurut NH, kejadian berlaku ketika anaknya menjalani rawatan penyakit tuberkulosis (TBC) di ruang isolasi hospital yang ketika itu kosong tanpa pesakit lain.
"Anak saya dimasukkan ke hospital pada 20 Disember 2024, waktu malam. Ketika itu ruang isolasi kosong. Tiba-tiba jururawat datang, bertanyakan keadaan anak saya dan kemudian memeriksa sehingga ke bahagian sulit. Ketika itulah kejadian rogol berlaku,” katanya.
NH mendakwa anaknya memaklumkan kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali, iaitu sekali pada waktu siang dan dua kali pada waktu malam.
Pengakuan mangsa hanya dibuat pada hujung April lalu selepas NH menasihatkan anak-anaknya supaya berwaspada terhadap lelaki.
"Saya berpesan kepada anak-anak supaya berhati-hati dengan lelaki dan tidak bercinta. Tiba-tiba anak saya berkata, ‘Ma, doktor di hospital itu pernah memasukkan anunya ke dalam saya’. Apabila saya bertanya doktor yang mana, rupanya jururawat,” jelas NH.
NH kemudian membawa anaknya ke hospital untuk mengecam pelaku dan mangsa secara terus menunjuk ke arah seorang jururawat yang sedang duduk di hospital tersebut.
"Anak saya berkata, ‘Itu yang sedang duduk’. Saya mengambil gambar jururawat itu dan terus membuat laporan polis. Kami telah tiga kali cuba menyelesaikan perkara ini dengan pihak hospital tetapi tiada kata sepakat dicapai,” katanya.
NH berharap laporan itu dapat memberi keadilan kepada anaknya yang kini mengalami trauma berpanjangan.
"Saya hanya mahu keadilan untuk anak saya. Dia trauma seumur hidup. Saya yakin anak saya adalah mangsa jenayah seksual,” katanya. – Kompas.com