KUANTAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam muara ketika berkelah bersama keluarganya berhampiran Jeti Pantai Balok, di sini, petang Sabtu.
Mangsa, Nur Afia Ramadhani Zulkarnain, disedari hilang oleh keluarganya sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang.
Menurutnya, operasi turut dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan.
"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam muara ketika keluarganya sedang berkelah.
"Pencarian permukaan dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Zulfadli berkata, usaha mencari turut melibatkan empat anggota polis dan enam orang awam yang membantu menggunakan dua buah bot.
"Dua penyelam dari PPDA melakukan selaman pada jam 6.34 petang namun mangsa masih belum ditemui.
"Selepas perbincangan bersama pihak polis, operasi ditangguhkan pada jam 7.32 malam dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.