India Pakistan sepakat adakan gencatan senjata serta-merta

Iklan
India dan Pakistan akhirnya capai kata sepakat. Gambar kecil: Vikram Misri

NEW DELHI / ISLAMABAD - India dan Pakistan pada Sabtu bersetuju untuk menghentikan semua tindakan ketenteraan di darat, udara dan laut bermula jam 5 petang (waktu India), menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kementerian Luar India, Vikram Misri.

Pengumuman itu dibuat beberapa minit selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan bahawa kedua-dua negara berjaya mencapai kata sepakat berhubung gencatan senjata penuh dan serta-merta hasil rundingan yang diusahakan oleh Washington.

Iklan
Iklan

Misri memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Operasi Tentera (DGMO) Pakistan telah menghubungi rakan sejawatannya di India pada jam 3.35 petang waktu tempatan, dan mereka bersetuju untuk menghentikan semua serangan. Arahan telah dikeluarkan kepada angkatan tentera kedua-dua negara untuk mematuhi persetujuan tersebut.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang semula pada 12 Mei, jam 12 tengah hari,” katanya.

Iklan

Sejurus pengumuman itu, Pakistan turut mengumumkan pembukaan semula ruang udaranya untuk semua jenis penerbangan, menurut kenyataan daripada Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA), seperti dilaporkan AFP.

Menteri Luar India, S. Jaishankar dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa pendirian New Delhi terhadap keganasan tidak akan berubah.

Iklan

"India tetap bertegas dalam menentang sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi dengan keselamatan negara," ujarnya.

Sumber kerajaan India pula menjelaskan bahawa persetujuan gencatan senjata ini dicapai secara langsung antara kedua-dua negara tanpa sebarang perbincangan tambahan di tempat lain. Mereka menegaskan bahawa panggilan dibuat oleh pihak Pakistan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar mengesahkan gencatan senjata serta-merta dan menegaskan bahawa negaranya mahu keamanan tetapi tidak akan berkompromi dalam isu kedaulatan.

"Pakistan sentiasa mengutamakan keamanan dan keselamatan serantau tanpa menggadaikan integriti wilayah kami," katanya.

Bekas Duta India ke Belanda, Venu Rajamony menyatakan bahawa tekanan diplomatik dari Amerika Syarikat dan Arab Saudi turut memainkan peranan penting dalam meredakan konflik.

"Saya percaya peranan AS dan Arab Saudi sebagai pengantara tidak boleh diketepikan. Ini kemenangan besar untuk orang awam yang menderita di sempadan,” katanya.

Bekas Ketua Turus Tentera India, Jeneral (Bersara) VP Malik menyatakan bahawa sebarang tindakan militan atau tentera dari Pakistan akan dilayan sebagai tindakan perang.

"Doktrin ketenteraan kita akan berubah. Serangan rentas sempadan tidak lagi dilihat sebagai insiden pengganas biasa — ia kini dikira sebagai tindakan peperangan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa operasi ketenteraan India setakat ini kekal bersifat terhad, namun tentera bersedia untuk bertindak balas secara besar-besaran jika perlu.

Laporan ketenteraan mendedahkan bahawa Pakistan telah menggunakan dron bunuh diri dan dron bersenjata dalam percubaan menceroboh ruang udara India, namun berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara India.

Sementara itu, Operasi Sindoor yang dilancarkan India pada 7 Mei dikatakan menyasarkan kem pengganas di wilayah Pakistan dan Kashmir yang diduduki Pakistan. Serangan itu sebagai tindak balas kepada serangan pengganas pada 22 April di Pahalgam yang mengorbankan 26 nyawa termasuk 25 pelancong.

Ahli Parlimen pembangkang India, Jairam Ramesh menyeru sesi khas Parlimen diadakan untuk membincangkan peristiwa sepanjang 18 hari lalu termasuk serangan di Pahalgam.

Dalam pada itu, Universiti Delhi turut meluluskan resolusi menyokong penuh kerajaan dan Angkatan Tentera India dalam menghadapi konflik ini.

Kereta api khas juga telah digerakkan di kawasan sempadan sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan untuk membantu pemindahan penduduk. -Agensi