SEREMBAN - Rakyat Malaysia yang merancang ke India dan Pakistan khususnya di wilayah Kashmir dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan tidak penting susulan pergolakan dua negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut meminta rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan terutama pelajar untuk menghubungi dan kemas kini maklumat masing-masing di kedutaan atau pejabat konsulat.
"Lampirkan nombor untuk dihubungi beserta alamat, jika ada apa-apa keperluan, pihak kedutaan akan mudah menghubungi mereka.
"Rakyat yang berada di sana juga dinasihat untuk mengelak pergi ke daerah yang bermasalah terutama di Kashmir.
"Batalkan dulu apa juga perjalanan ke sana agar tidak menjadi mangsa atau terjejas jika terjadinya perkara-perkara tidak diingini," katanya selepas hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Senawang 3 pada Sabtu.
Katanya, Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan meminta kedua negara berkenaan untuk 'standdown' bagi mengelak keadaan tidak menentu dan situasi tegang berterusan berlaku.
"Malaysia risau dengan keadaan saling berbalas tembakan menggunakan dron dan roket, ini perlu dielakkan.
" Harap pemimpin kedua-dua negara memikirkan gambaran lebih besar daripada melihat situasi yang boleh menyebabkan hubungan dua negara terjejas," katanya.
Pada masa sama, Malaysia telah dengan jelas menyatakan pendirian meminta siasatan dan dikenakan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan keganasan hingga menyebabkan ramai terbunuh.