MEXICO CITY – Mexico telah memfailkan saman terhadap syarikat teknologi Google susulan tindakan platform itu menamakan perairan Gulf of Mexico sebagai Gulf of America bagi pengguna di Amerika Syarikat, menurut Presiden Claudia Sheinbaum pada Jumaat.
Sheinbaum tidak mengulas lanjut mengenai butiran saman tersebut, namun Kementerian Luar Mexico sebelum ini telah menghantar beberapa surat rasmi kepada Google bagi meminta agar nama asal Gulf of Mexico dikekalkan - merujuk kepada kawasan perairan yang turut meliputi wilayah Mexico.
Menurut laporan, peta dalam talian Google Maps bagi pengguna di Amerika Syarikat kini memaparkan nama Gulf of America, manakala pengguna di luar negara masih melihatnya sebagai Gulf of Mexico.
Perubahan nama itu berpunca daripada perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump pada hari pertama beliau kembali menjawat jawatan Presiden pada 20 Januari 2025. Beberapa minggu kemudian, beliau mengisytiharkan 9 Februari sebagai Hari Gulf of America.
Tindakan Trump ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda peluasan pengaruh geopolitik, termasuk cadangan kontroversi untuk mengambil alih Terusan Panama dan Greenland, serta menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 Amerika Syarikat.
Mexico berhujah bahawa jika Amerika Syarikat tetap mahu menamakan kawasan itu sebagai Gulf of America, ia hanya wajar digunakan bagi bahagian yang berada dalam pelantar benua negara tersebut, sejajar dengan sempadan maritim yang diiktiraf antara kedua-dua negara.
Naib Presiden Google bagi Hal Ehwal Kerajaan Antarabangsa, Cris Turner, sebelum ini menegaskan bahawa syarikat itu hanya mengikut dasar penamaan berdasarkan Sistem Nama Geografi Amerika Syarikat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Namun, ketegangan memuncak apabila Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Khamis lalu meluluskan rang undang-undang dengan undian 211–206, yang mengiktiraf nama Gulf of America secara rasmi. Langkah itu bagaimanapun dijangka berdepan tentangan lebih besar di peringkat Senat.
Sementara itu, Mexico mendapat sokongan dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang menyifatkan tindakan Amerika Syarikat sebagai pencabulan terhadap kedaulatan sejarah dan geografi rantau tersebut, yang telah dikenali sebagai Gulf of Mexico selama lebih 400 tahun.
Perbalahan ini turut mencetuskan isu kebebasan media apabila agensi berita Associated Press hampir disekat daripada membuat liputan di Rumah Putih, manakala pesawat rasmi Air Force One turut menerima nasib sama kerana masih menggunakan nama Gulf of Mexico. Mahkamah persekutuan kemudian mengarahkan agar akses media itu dipulihkan atas alasan kebebasan bersuara.