LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek, menyuarakan kebimbangan Malaysia berisiko kehilangan status kuasa badminton dunia sekiranya kekurangan kejohanan peringkat akar umbi untuk mencungkil bakat baharu terus berlarutan.
Menurutnya, tanpa pendedahan kepada suasana pertandingan sebenar, pemain-pemain muda hanya menjalani latihan yang bersifat rutin, sebaliknya pulangan daripada pengalaman pertandingan akan memberikan kelebihan dalam mengasah kemahiran.
"Kekurangan kejohanan akar umbi memberi ruang kepada negara-negara yang pesat membangun seperti Thailand untuk mengambil alih kedudukan kita dalam arena badminton global.
"Thailand kini sudah memiliki juara dunia dalam perseorangan lelaki dan wanita, serta berjaya dalam acara beregu campuran," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM) 2024 pada Khamis.
Rashid juga turut memberi tumpuan kepada isu kekurangan pemain, terutamanya dalam acara perseorangan wanita, yang mampu mengangkat nama negara di peringkat antarabangsa.
Malah, beliau menyatakan bahawa walaupun terdapat ramai pemain di peringkat kebangsaan, hanya segelintir kecil yang benar-benar berpotensi jika tidak ditangani isu kekurangan pertandingan di peringkat muda secara menyeluruh.
Ketiadaan sentuhan pertandingan sebenar, menurutnya, telah menjejaskan proses pembentukan bakat yang berkualiti, satu keadaan yang berbeza dengan era gemilang pemain-pemain terdahulu seperti Datin Wong Mew Choo.
"Penganjuran lebih banyak pertandingan diperlukan untuk menguji apa yang telah dipelajari oleh pemain semasa latihan. Hanya dengan pendedahan yang mencukupi, kita dapat memastikan perkembangan dan kemampuan bersaing pemain di peringkat tertinggi.
"Pada pandangan saya, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) perlu menambah baik dari segi pembangunan di peringkat bawah umur. Banyakkan lagi kejohanan kerana di situlah kita dapat menguji apa yang pemain belajar ketika dalam latihan," katanya.