PM terima kunjungan hormat Siti Nurhaliza, bincang topik seni

Iklan
Anwar pada Jumaat menerima kunjungan hormat Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid di Putrajaya. Foto FB Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan membincangkan pelbagai topik berkaitan seni.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kunjungan hormat ke pejabatnya di Putrajaya itu turut dihadiri oleh suami Siti Nurhaliza, iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mewakili Yayasan Nurjiwa.

Iklan
Iklan

"Pelbagai topik telah dibincangkan, antaranya peranan penting yang boleh dimainkan oleh Siti Nurhaliza dalam mendidik serta menjadi contoh teladan kepada para penghibur dan artis muda masa kini.

"Kami turut menyentuh kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni agar sentiasa relevan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu,” kata beliau.

Iklan

Tahun lepas, Siti Nurhaliza menerima Anugerah Biduan Negara 2024 semasa Majlis Anugerah Seni Negara, sekali gus meletakkan beliau sebagai penerima ketiga anugerah berprestij itu selepas Allahyarham Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada tahun 2006.

Penyanyi nombor satu negara itu mula menceburi industri seni pada tahun 1995 dan sepanjang penglibatannya, beliau telah merangkul lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara, antaranya Anugerah Industri Muzik (42), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28) dan MTV Asia Award (4), selain menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebanyak dua kali.

Iklan

Beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenarai dalam 500 Muslim Berpengaruh Dunia selama 10 tahun berturut-turut. Selain itu, beliau pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada tahun 2005. - Bernama